Showing posts with label menyusu di tempat awam. Show all posts
Showing posts with label menyusu di tempat awam. Show all posts

Saturday, July 25, 2015

Tip menyusu semasa beraya

Teks : Zaleha Mustapha
Gambar : Koleksi Peribadi

Assalamu'alaikum & Salam kebahagiaan,
Allahumma salli 'ala sayyidina Muhammad.

Salam Eid Mubarak buat semua ibu-ibu menyusu. Kepada yang sudi follow tulisan saya di blog ini, saya ucapkan berbanyak terima kasih dan mohon maaf andai ada tulisan saya yang tidak menyenangkan ibu-ibu semua. Itu adalah kelemahan saya dan didoakan apa yang saya kongsikan dapat memberi manfaat buat ibu-ibu semua.

Alhamdulillah Ramadhan dilalui dengan jayanya. Turun naik penghasilan susu ibu semasa berpuasa itu biasa. Anggaplah ia suatu pengalaman yang sangat indah dan tak dapat dibeli di mana-mana. Hanya Allah yang memberi balasan kebaikan atas usaha kita menjalankan 2 tanggungjawab: menyusu dan berpuasa. Terima kasih Allah atas rukhsah (tidak berpuasa) yang diberikan kepada ibu menyusu. Sayangnya Allah pada kita :)

Selesai berpuasa, kita menyambut raya pula. Banyak persiapan juga perlu dibuat khususnya bila mahu balik beraya di kampung. Bagaimana nak uruskan susu perahan dalam peti ais di rumah, susu perahan semasa dalam perjalanan, bagaimana nak simpan di kampung, semasa nak beraya dan banyak lagi persoalan ibu-ibu menyusu kan ;)

Saya kongsikan dahulu tip menyusu semasa beraya ya.


Persediaan menyusu semasa beraya lebih kurang sama dengan menyusu di tempat ramai. Apabila berkumpul dan bersama dengan mereka yang tidak menyusu badan, sudah tentu ada isu-isu tertentu seperti saranan top up susu formula, tidak selesa melihat ibu menyusu dan lain-lain.

Antara tip yang boleh diamalkan:

*khusus untuk ibu yang menyusu secara terus (direct breastfeeding)

1- Kuatkan mindset dan jiwa raga

Kita yakin kita telah membuat pilihan yang terbaik untuk anak kita iaitu menyusukannya dengan susu ibu. Jadi apa jua komen yang tidak membina dari ipar duai, sahabat handai, kita balas dengan senyuman sahaja. Jika mereka boleh menerima pendapat, bolehlah kita promosikan kelebihan penyusuan susu ibu. Jika tidak, berdiam adalah lebih baik dari bertelagah tentang pendirian masing-masing.

2- Peka dengan karakter anak kita

Sesetengah bayi tiada masalah jika berada di tempat ramai, tetapi sebilangan bayi yang lain tidak selesa dan mudah terganggu apabila menyusu dalam keadaan riuh rendah dan ramai orang. Apabila kita peka dengan karakter anak, mudah untuk kita uruskan penyusuan semasa beraya.

Saya teringat semasa menyusukan Adnin. Dia ni memang "telinga lintah" macam abangnya juga sejak dari lahir. Bunyi ayam berkokok pun boleh terjaga dari tidur. Kalau menyusu di luar dan ada bunyi, memang cepat dia berhenti menyusu dan mencari punca bunyi tu. Kelam kabutlah saya menutup baju. Satu lagi stail dia, nak menyusu sambil baring. Kalau beraya rumah keluarga terdekat, bolehlah minta masuk bilik, jika di tempat lain, segan juga kecuali dah terpaksa, bila dia dah "mengamuk" hendak tidur. Mujurlah bila dah besar sikit, perangai dia ni berubah, boleh menyusu sambil duduk je.

3- Maklumkan kepada tuan rumah/penganjur

Jika beraya ke rumah terbuka dan kita kenal rapat dengan tuan rumah, boleh maklumkan bahawa kita menyusukan anak. Mohon izin untuk guna bilik tetamu atau ruang tertentu jika anak perlu disusukan secara privasi.

4- Cari tempat dan masa yang sesuai

Jika beraya di tempat terbuka, cari tempat yang sesuai (sedikit tersorok) untuk menyusukan anak. Kita juga boleh membelakangi orang ramai untuk lebih privasi. Ibu juga harus peka waktu anak mahu menyusu, waktu tidur atau apa-apa ketidakselesaan pada mereka seperti lampin basah, panas, bosan dan lain-lain. Ini akan dapat membantu ibu beraya dengan lebih ceria.

Semasa anak kecil, saya dan suami keluar beraya sekejap sahaja. Kami akan balik sebelum anak meragam. Jika jarak agak jauh dan perlu berada lama, kami akan bawa mainan anak untuk menarik perhatian anak agar tidak meragam.

5- Mohon bantuan suami/ahli keluarga

Minta suami atau ahli keluarga yang lain 'cover' semasa menyusukan anak agar ibu tidak terlalu 'terdedah'.

6- Pakai baju mesra penyusuan dan aksesori yang berkaitan

Baju menyusu sangat membantu ibu semasa keluar beraya. Ibu dapat menyusukan dengan mudah dan dapat menjaga aurat.

7- Susukan anak sebelum keluar beraya

Susukan anak di rumah atau dalam perjalanan atau semasa hampir sampai di rumah terbuka. Ini bergantung pada anak juga. Adakalanya mereka mahu menyusu pada bila-bila masa, tak kira tempat dan masa :) Itulah kelebihan susu ibu, tidak perlu bancuh, semua telah tersedia, hanya perlu latihan sedikit untuk menyusu dengan sempurna.

8- Biasakan menyusu di tempat awam

Kita akan yakin dengan apa yang selalu kita buat. Jika pertama kali ingin menyusu di tempat terbuka, mungkin kita akan kekok. Kita boleh berlatih di hadapan cermin di rumah dan lihat cara terbaik untuk menyusu tanpa menarik perhatian orang sekeliling. Yang paling penting adalah aurat terjaga dan ibu serta anak rasa selesa.

Kadang-kadang orang sekeliling tak perasan pun ibu sedang menyusukan anak. Ini lebih mudah bila ibu memakai baju menyusu yang mempunyai bukaan khas dan bertudung labuh. Ibu tidak perlu menyelak baju dari bawah atau memakai poncho yang membuat orang tahu ada bayi sedang menyusu.

Menyusukan anak di tempat awam bukan satu kesalahan. Namun ada lelaki yang kurang selesa, malah ada suami yang tidak membenarkan isteri mereka menyusu di tempat awam walaupun aurat terjaga. Itu pilihan mereka. Mungkin mereka jarang membawa isteri dan anak keluar atau bila di luar anak minum melalui botol sahaja. Bukan semua tempat awam ada bilik menyusu. Jika ada pun, kadang-kadang jauh dan penuh. Kasihan jika biarkan bayi menangis semata-mata mahu mencari tempat khas untuk menyusu.


 
9- Bawa kelengkapan penyusuan

Jika ibu masih belum yakin untuk menyusu secara terus (direct breastfeeding) atau ada halangan lain, ibu boleh membawa susu perahan (EBM) dan menyusukan anak dengan botol. Banyak persediaan dan kelengkapan yang perlu dibuat/dibawa:
- susu perahan
- cooler bag
- ice pack
- warmer/termos air suam untuk rendam susu perahan
- pam susu (jika beraya dalam tempoh yang lama, ibu perlu perah susu kerana tidak menyusukan anak secara terus)

Kebaikannya, suami atau ahli keluarga yang lain boleh tolong susukan bayi melalui botol.

Kelemahannya, susu perahan akan berkurangan, perlu cari tempat yang sesuai untuk perah susu, jika tidak perah susu, ibu boleh mengalami bengkak susu.

Semoga perkongsian ini dapat membantu ibu-ibu beraya dengan ceria :D Ingatlah, semasa kita menyusukan anak di tempat awam, kita secara tidak langsung mempromosikan penyusuan susu ibu dan didoakan lebih ramai ibu akan menyusukan anak mereka dengan susu ibu.


Baca juga tip ini:

Penyusuan Susu Ibu dan Persediaan Semasa Hari Raya.

Tips menyusu semasa beraya dan open house


Sharing with ♥

 Zaleha Mustapha
Kaunselor Laktasi
------------------------------------
Mahukah ibu-ibu berjimat dengan mengubahsuai baju biasa menjadi baju menyusu?
Klik di sini >>> ClothDNZ

Sunday, November 24, 2013

Panduan menyusu di tempat awam

Teks: Zaleha Mustapha
Foto: Carian Google

November, Disember :)
Musim kenduri dah tiba!
Juga masa untuk bercuti bersama keluarga tersayang ♥

Jika puan ibu menyusu, pasti terfikir bagaimana untuk menyusu di tempat awam dengan selesa dan mudah.


Picture credit: www.drmomma.org

Puan boleh cuba panduan ini:
1. Ketahui lokasi kenduri atau tempat percutian.
==================================
Puan boleh semak samaada tempat percutian menyediakan bilik menyusu,
jika di tempat kenduri, Puan boleh meminta izin dengan tuan rumah untuk menyusukan bayi di bilik tetamu atau mana-mana tempat yang bersesuaian.

Jika tiada tempat khas, Puan boleh mencari tempat yang agak terlindung dan pakai baju yang memudahkan penyusuan.

2. Berbincang dengan suami.
====================
Ada suami yang tidak suka isteri menyusukan anak di tempat awam walaupun aurat terjaga.

Jika bilik menyusu atau kereta jauh dari tempat Puan berada, dan bayi telah mula merengek untuk menyusu, minta suami memahami keadaan ini dan dia boleh bertindak sebagai ''perisai'' yang melindungi Puan dan bayi.

3. Berlatih agar lebih yakin dan tenang.
===========================
Sebelum menyusu di tempat awam, Puan boleh selalu berlatih di depan cermin. Lihat samaada aurat terjaga semasa menyusukan bayi.

Ada bayi yang tidak selesa pada kali pertama menyusu di tempat awam dan mereka mudah tertarik dengan bunyi di sekitar. Pastikan Puan bertindak pantas melindungi aurat jika bayi tiba-tiba menyelak baju atau sering berhenti menyusu dengan tiba-tiba.

Puan boleh membawa mainan yang bersesuaian untuk dipegang oleh bayi semasa mereka menyusu agar mereka tidak menyelak baju atau melakukan perkara yang membuatkan Puan tidak selesa di tempat awam.

4. Pakai baju yang sesuai.
================
Pakai baju yang longgar untuk memudahkan penyusuan. Lebih mudah jika Puan memakai baju yang mempunyai bukaan khas untuk menyusu.

Puan tidak perlu mengangkat baju dari bawah dan orang di sebelah pun mungkin tidak sedar semasa Puan dalam proses menyusukan si comel :D

5. Bawa kain yang boleh melindungkan bayi semasa menyusu.
============================================
Puan boleh gunakan nursing cover, selendang, kain lampin dan penggendong bayi. Memakai tudung labuh juga sangat membantu Puan untuk menyusukan dengan mudah.

Sesetengah bayi tidak selesa menyusu jika ditutup dengan kain. Pastikan kain tersebut tidak terlalu rapat dengan muka mereka.

Puan boleh selalu melihat mata si comel dan berbual-bual agar Puan dan bayi lebih tenang.

Zaleha Mustapha
Kaunselor Laktasi
Sharing with ♥

Like | Share

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...