Thursday, December 5, 2013

Penyusuan semasa bencana

Teks: Zaleha Mustapha
Foto: Carian Google


Saya terpanggil untuk menulis entri ini apabila diberitahu rakan Pembimbing Ibu Menyusu di Kuantan bahawa banjir semakin teruk. Ada ibu yang 'kehilangan' semua susu perahan kerana peti ais telah rosak akibat banjir.

Kredit : bellalullaby-2.blogspot.com
Itulah doa yang sangat bermakna buat ibu yang menghadapi ujian dalam apa jua keadaan. 

Salah satu aktiviti sempena sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2009 adalah berkenaan Penyusuan Susu Ibu: Tindak balas penting ketika kecemasan, Sudahkah anda bersedia?

Dalam waktu kecemasan seperti kemalangan, banjir, tanah runtuh, ribut, kebakaran, susu ibu menjadi penyelamat bayi. Ini kerana sewaktu bekalan air bersih sukar didapati, penyediaan susu formula akan mengundang bahaya kepada bayi. Kejadian banjir besar di Botswana, May 2006 sangat menyayat hati apabila kes cirit-birit dan kematian bayi yang tidak menyusu dengan susu ibu bertambah 22 kali ganda.

Proses penyusuan susu ibu memberi kelebihan kepada ibu dan bayi kerana ia menimbulkan rasa ketenangan hasil dari refleks hormon oksitosin. Ibu juga tidak perlu bersusah payah mencari air bersih untuk membasuh peralatan dan membancuh susu formula.

Jika ibu mengalami masalah untuk menyusukan kerana tercedera atau trauma, susu perahan dari ibu yang lain sangat membantu. Malah ada yang boleh menyusukan terus bayi tersebut dengan izin kedua ibubapanya. 


Panduan untuk ibu ketika bencana atau kecemasan:

1. Pada waktu kritikal, nyawa adalah lebih penting. Ibu perlu selamatkan diri sendiri dan bayi dahulu.

2. Jika sempat membuat persiapan menghadapi banjir contohnya, hubungi keluarga atau rakan-rakan yang tidak terlibat dengan banjir. Mohon tumpangkan susu perahan (EBM) di peti ais mereka.

3. Bawa dokumen dan peralatan penyusuan yang perlu. Ibu digalakkan menyusu secara terus sahaja jika berada di pusat pemindahan. 

4. Bagi Exclusive Pumping Mom (EP Mom), bawa peralatan yang penting dan maklumkan kepada kakitangan yang menguruskan pusat pemindahan bahawa ibu menyusu anak sepenuhnya dengan susu perahan. Mohon bantuan untuk disediakan barang-barang yang diperlukan seperti bekas simpanan susu sementara, ais, botol dsb. Jika pusat pemindahan ada kemudahan peti ais/freezer, ibu boleh memohon untuk menggunakannya. Pastikan ia berada dalam keadaan yang bersih dan tersusun.

Pada waktu kecemasan dan tiada bekalan elektrik, ibu boleh memerah susu dengan tangan atau teknik Marmet. Ibu mungkin akan mengalami kesukaran untuk menyimpan susu perahan tetapi pada waktu begini, keutamaannya adalah sistem perah-beri terus.

Ibu juga boleh cuba teknik skin-to-skin untuk membolehkan anak menyusu secara terus. Berdoalah kepada Allah kerana keajaiban boleh berlaku pada waktu yang tidak disangka-sangka.

5. Dapatkan nombor telefon Kumpulan Sokongan Penyusuan Ibu berdekatan dan persatuan-persatuan penyusuan susu ibu serta badan-badan kebajikan yang lain untuk berkongsi ujian yang dihadapi. Pada masa kritikal seperti ini, bantuan yang tidak kurang penting adalah dari segi sokongan emosi untuk ibu. Ibu perlu tenang agar tidak mengganggu pengeluaran susu ibu.

Melalui kumpulan / persatuan ini juga, ibu boleh maklumkan jenis bantuan yang diperlukan dan insyaAllah akan dihebahkan segera.

6. Bersedia untuk menyusu di tempat awam. Ibu boleh ikuti Panduan menyusu di tempat awam

Semasa bencana, pasti ada kekurangan dari segi pengurusan bantuan. Kita doakan dipermudahkan semua urusan dan sumbangan dari pelbagai pihak.

Banyak panduan berguna di sini: 
Breastfeeding During Emergencies   
Infant Feeding in Emergencies


Zaleha Mustapha
Kaunselor Laktasi
Sharing with ♥

------------------------------------
Ingin bertanya tentang penyusuan susu ibu?
Maklumkan persoalan ibu di sini >>>Borang Konsultasi Susu Ibu
Post a Comment
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...