Monday, June 16, 2014

Bila tiba ... (sambungan)

Teks : Zaleha Mustapha

Entri Bila tiba ... yang pertama di sini

25 April, Jumaat:
Lewat petang itu kelihatan ayahanda mertua seolah "tidur". Sebelum itu dia kerap seperti mengerang/meracau tetapi apabila dipanggil oleh kakak / abang ipar dia sedar dan boleh ikut bila diajar mengucap.

Selepas Maghrib, saya terus menyambung lagi bacaan Ya Sin di sisinya. Merenung wajahnya, mengusap peluh halus di dahinya ... ada getar dalam dada ...

Selepas Isya', ayahanda mertua masih dalam keadaan "tidur". Sanak saudara, jiran-jiran masih memenuhi ruang tamu. Lebih kurang jam 9.40 malam, biras meminta seorang pakcik untuk "lihat" ayahanda mertua kerana dadanya tidak kelihatan turun naik seperti sebelumnya.

Setelah nadi diperiksa, beliau menyatakan ayahanda telah tiada ...

Reaksi kami sekeluarga ... agak terkejut kerana perginya begitu "senyap" dan mudah seakan satu helaan nafas sahaja ... Innalillahi wa inna ilaihi raji'un ...


26 April, Sabtu:
Urusan pengebumian ayahanda mertua telah selesai hampir jam 11 pagi. Saya galakkan anak-anak melihat setiap urusan yang dilakukan dari penyediaan bahan-bahan untuk urusan jenazah, memandikan, mengkafankan sehinggalah dikebumikan.

Alhamdulillah.
Semuanya mudah dan lancar.
Pengalaman bermakna buat diri kerana itulah kali pertama saya mengikuti perjalanan sebuah kematian, saat habisnya nafas hinggalah pengkebumian.

Saat dipanggil anak cucu memberi kucupan terakhir, air mata tumpah jua.
Rasa sangat sayu, terkenang ayahanda sendiri.
Pertama kali merasa sejuknya dahi jasad yang telah tiada rohnya.


KEMATIAN ADALAH PERMULAAN SEBUAH KEHIDUPAN BARU DI NEGERI ABADI.

Didoakan ayahanda mertua damai di "kediaman" yang baru,
dilapangkan serta bercahaya selalu sementara menunggu Jannah yang diidamkan.

Sungguhlah kematian adalah suatu peringatan yang besar buat yang masih hidup.

Masih beratkah daku mahu bangun bertahajjud,
Masih liatkah daku mahu membaca Al Qur'an,
Masih bertangguhkah daku mahu membuat segala kebaikan …
Allahummaghfirlahu wa lana.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...